" ORANG MUDA GENG KITA - JOM JOIN PAS '

Thursday, December 29, 2011

Krisis air: Mahasiswa UMP Pekan tuntut pembelaan

Muhamad Fazli Abdul Halim

Krisis gangguan air yang semakin meruncing di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan sudah berlarutan masuk minggu kedua tidak menampakkan sebarang tanda-tanda yang krisis ini akan berakhir. Krisis ganguan air ini dikatakan berpunca daripada tekanan air yang rendah akibat daripada UMP Kampus Pekan yang mempunyai kapasiti pelajar sekitar 2000 orang terpaksa berkongsi sumber air yang sama daripada tangki yang berada di Kuala Pahang yang turut sama disalurkan kepada masyarakat sekitar. Situasi ini cukup menyeksa dan menyukarkan urusan harian mahasiswa yang dalam masa yang sama ditambah dengan tekanan peperiksaan akhir semesta yang bakal berkunjung tiba. Krisis ini juga turut menjejaskan pihak pengusaha kafeteria yang secara langsung mengganggu pengoperasian dan urusniaga mereka dan menambah kesengsaraan mahasiswa dalam mendapatkan makanan.

Krisis air bukan isu baru

Permasalahan ganguan air yang dialami oleh mahasiswa UMP bukanlah satu perkara yang baru. Perkara yang sama turut berlaku dua tiga tahun yang lepas oleh mahasiswa UMP yang berada di Kampus Gambang. Krisis air ini bukanlah satu perkara yang asing oleh masyarakat Pekan dan Pahang khususnya.Tindakan segera amat diperlukan terutamanya peranan yang dimainkan oleh Jabatan Bekalan Air Pahang sebagai salah satu agensi kerajaan negeri agar mengambil perhatian serius terhadap permasalahan yang dialami oleh kami selaku mahasiswa agar memudahkan urusan pembelajaran kami di medan universiti ini.

Mohon perhatian Perdana Menteri

Mahasiswa UMP Pekan memohon agar kebajikan kami yang merupakan sebahagian daripada komuniti di sini agar diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri yang berazam untuk terus membangunkan Pekan, kawasan parlimennya, serta masyarakatnya dalam apa jua keadaan sepertimana yang beliau ucapkan semasa Himpunan Anak-anak Pekan Bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 19 Disember yang lepas.

Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (Gempak) UMP

Satu jawatankuasa bertindak telah dibentuk diperingkat mahasiswa yang dikenali sebagai Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (GEMPAK) UMP yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan fakulti dan perwakilan kolej kediaman serta beberapa wakil mahasiswa yang terpilih. Antara objektif utama jawatankuasa ini diwujudkan adalah bertujuan untuk menuntut penyelesaian segera krisis air di UMP Pekan oleh pihak yang berkaitan dan bertanggungjawab.

Penulis merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang juga Pengerusi Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (Gempak) UMP.

Sumber;

No comments:

IKUT KAMI DISINI..

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH