" ORANG MUDA GENG KITA - JOM JOIN PAS '

Saturday, September 22, 2007

Polis: Ibu bapa Nurin boleh dituduh cuai


21-09-2007 10:03:02 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PUTRAJAYA: Baru beberapa jam selesai mengkebumikan jenazah anak mereka yang meninggal dunia akibat deraan seksual, Jazimin Abdul Jalil dan isterinya Norazian Bistaman kini menghadapi kemungkinan didakwa kerana cuai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis kini sedang menyiapkan laporan kes berkenaan dan jika mendapati terdapat elemen cuai sehingga menjurus kepada penculikan Nurin Jazlin, ibu bapa mangsa boleh diambil tindakan undang-undang bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak.

"Jika ada kecuaian, kita akan cadangkan kepada Peguam Negara agar tindakan undang-undang diambil ke atas mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Polis yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri hari ini.

Musa berkata, peruntukan undang-undang terhadap ibu bapa yang cuai menjaga keselamatan anak mereka telah lama wujud, tetapi belum pernah dikuatkuasakan selama ini.

"Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita kuatkuasakan peruntukan itu," tambahnya.

Beliau juga berkata polis telah membatalkan rancangan mengadakan ujian DNA kali kedua setelah ibu bapa Nurin menerima keputusan ujian pertama semalam yang mengesahkan mayat di dalam beg sukan yang ditemui di Petaling Jaya pada Isnin lalu adalah anak mereka yang hilang selama sebulan.

Katanya, ibu bapa Nurin menerima keputusan ujian itu setelah diberikan penjelasan mengenainya serta rekod pergigian mangsa yang menunjukkan mayat itu anak mereka.

Ibu bapa Nurin, katanya, kemudian bersetuju bahawa ujian DNA kedua tidak perlu dijalankan.

Mangsa berusia lapan tahun yang diperlakukan dengan kejam setelah diculik sejak 20 Ogos lalu dikebumikan selepas solat Jumaat tengah hari tadi.

Ditanya perkembangan siasatan kes itu, Musa berkata polis kini bekerja keras untuk mencari seorang suspek yang dipercayai bertanggungjawab terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Beliau bagaimanapun sekali lagi enggan memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai suspek yang menjadi buruan pihaknya kerana bimbang lelaki itu melarikan diri.

Berikutan kes penculikan Nurin, katanya, polis kini meningkatkan rondaan di beberapa kawasan, termasuk kawasan Kampung Baru, Chow Kit dan Jalan Masjid India.

Sementara itu Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Nurin atas kejadian malang ini.

Sambil meluahkan rasa sedih dan marahnya atas kejadian kejam ini, Abdullah menyifatkan kejadian penderaan seksual sehingga mati itu sangat menyayat hati.

No comments:

IKUT KAMI DISINI..