" ORANG MUDA GENG KITA - JOM JOIN PAS '

Saturday, September 15, 2007

12 persoalan besar di Batu Buruk belum terjawab

Sumber : www.harakahdaily.net
Mat Zain Mat Isa
Sat | Sep 15, 07 | 12:35:40 pm MYT

Episod kekecohan yang menyaksikan keganasan pihak polis di Batu Burok, Kuala Terengganu, 8 September telah berlalu hampir seminggu.
Sebahagian besar daripada 23 orang awam ditahan polis telah dibebaskan dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Dua mangsa tembakan ‘peluru hidup’ polis yang masing-masing dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan juga dilaporkan beransur sembuh.

Namun insiden yang dianggap paling buruk di Terengganu sejak dua dekad ini nampaknya tidak terhenti setakat penahanan, pendakwaan mahu pun rawatan kepada yang mengalami kecederaan sahaja.

Ia turut menimbulkan persoalan dan perbahasan mengenai keselamatan, integriti pasukan polis dan patriotisme rakyat. Isu ini menjadi isu nasional.

Ia berkumandang lewat perbahasan dan usul di Dewan Rakyat. Ia juga mengundang memorandum oleh Badan Gabungan Tuntutan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) kepada Ketua Polis Negara.

Di Kuala Terengganu sendiri, insiden itu masih menjadi buah tutur masyarakat. Di kedai kopi, stesen minyak, pejabat, surau dan masjid, mahu pun di dalam kenderaan awam, rakyat Terengganu masih membicarakannya. Yang tahu serba sedikit menceritakan, yang tidak tahu sangat berkeinginan mengetahui lebih lanjut.

Maklumat-maklumat yang dipaparkan menerusi laporan media massa, terutama akhbar-akhbar arus perdana dan tv nampaknya tidak meyakinkan masyarakat awam. Sebagai anggota masyarakat setempat, cakap-cakap dan penyampaian oleh eyewitnesses (mereka yang menyaksikan sendiri) nampaknya lebih diterima umum. Bagai diduga, kebanyakan cerita oleh saksi kejadian tidak memihak kepada pihak berkuasa.

Apa yang nyata, semakin banyak maklumat didedahkan media mengenai kejadian tersebut, dan semakin rancak serta meluas perbincangan mengenainya berlaku di dalam masyarakat, maka semakin banyak pula persoalan dan tandatanya timbul berkaitan fakta-fakta sebenar kejadian malam itu.

Ia turut mengundang teori konspirasi serta implikasi politik hasil insiden tersebut.

Banyak isu tinggal misteri

Untuk renungan dan bahan fikir bersama, berikut diperturunkan beberapa persoalan dan tandatanya tersebut:

1. Kerosakan harta awam dianggarkan RM500 ribu oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT). Exco Datuk Rosol Wahid pula dalam kenyataan berasingan mendakwa nilai kerosakan itu mencecah RM1 juta (biasa lah tu, pemimpin BN memang selalu melebih-lebih dalam hal seumpama ini). Kerosakan itu didakwa dibuat “perusuh” yang dikaitkan dengan para penyokong PAS yang hadir malam itu.

Anehnya, segala kerosakan yang berlaku seperti papantanda jalan, lampu isyarat, pasu bunga dan lain-lain itu sebenarnya terletak di dalam zon yang dikawal polis. Sepanjang kekecohan memuncak, tidak ada orang awam dibenarkan memasuki kawasan jalan sepanjang 200 meter dari persimpangan lampu isyarat merentasi depan Kediaman Seri Iman hingga ke stesen minyak Esso di situ. Maka menjadi tanda tanya, siapa bertanggungjawab memecah dan merosakkan harta awam itu?

2. Puluhan buah motosikal dan kereta dilaporkan mengalami kerosakan teruk kesan pukulan benda tumpul (kayu atau batu). Gambar-gambar sebahagian kenderaan yang rosak itu turut disiarkan akhbar. Antara gambar itu menunjukkan lokasi motosikal yang rosak itu hanya beberapa depa dari sepasukan polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sedang berkawal.

Apakah munasabah orang awam melakukannya dan dilihat sahaja oleh anggota FRU? Lagi pun, kenderaan yang rosak itu adalah milik orang awam, bukan milik anggota FRU atau polis. Sedangkan pertembungan malam itu antara polis dan orang awam. Apakah munasabah orang awam merosakkan kenderaan mereka sendiri? (Bunyinya macam tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim tumbuk muka dia sendiri dululah!)

3. Ada orang awam menceritakan telah melihat sekumpulan anggota polis mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang (pasar utama di tengah bandar Kuala Terengganu) beberapa hari sebelum kejadian. Mereka itu dikatakan telah memborong kesemua ‘bidas’ (lastik, orang Kedah sebut ‘terbir’, orang Putih kata ‘catapult’). Untuk apa lastik-lastik itu diborong polis?

4. Insiden bakar bendera negara turut dipertikaikan. Gambar disiarkan akhbar Berita Harian, 10 September menunjukkan seorang pemuda lengkap bertopi keledar sedang membakarnya di tengah jalanraya yang agak lengang. Berdasarkan gambar itu, dipercayai jurugambar yang merakamkan insiden itu berada tidak jauh dari si pembakar itu.

Mungkin jurugambar tersebut adalah orang paling wajar disoalsiasat, siapa sebenarnya pemuda itu? Apakah gambar tersiar itu satu-satunya gambar dirakamnya ketika itu, atau ada lagi gambar-gambar lain yang merakamkan imej lebih jelas mengenai pembakar bendera itu?

5. Lebih dipersoalkan banyak pihak, apakah pemuda itu sebahagian dari kumpulan pemuda yang datang untuk mendengar ceramah PAS atau dari kumpulan lain? Bajunya tidak menampakkan sebarang tanda basah atau berpeluh, menunjukkan dia belum begitu lama di situ, tidak sebagaimana yang lain.

6. Ada juga eyewitness mendakwa melihat seseorang dari dalam sebuah kereta menghulurkan bendera negara yang menjadi bahan bakar itu kepada pemuda tersebut dan menyuruhnya membakar. Jika benar begitu, bermakna bendera itu bukan disentap di situ ketika kekecohan berlaku, tetapi sengaja dibawa dari tempat lain oleh orang misteri yang berkereta itu.

7. Ada juga eyewitness menyaksikan kedatangan sekumpulan mat rempit sejurus selepas keadaan agak reda. Mereka ini memang menjadikan laluan yang terlibat dengan kekecohan itu sebagai track perlumbaan mereka saban malam. Tidak payah diberitahu, mereka ini memang menyimpan dendam dengan pasukan polis kerana sering mengganggu akvititi malam mereka.

Mereka ini dikatakan tumpang sekaki “mengamuk” dan melakukan kekacauan sebagai melepas geram terhadap pasukan polis. Apakah mustahil mereka ini turut terlibat membakar bendera, kon polis dan melakukan kerosakan-kerosakan lain itu?

8. Keengganan pihak Polis Daerah Kuala Terengganu mengeluarkan permit untuk perhimpunan malam itu turut dipertikaikan. Pertama, telah beberapa kali lokasi sama dijadikan pentas ceramah melibatkan nama-nama besar dalam pembangkang seperti Mohamad Sabu, Anwar dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri. Majlis-majlis tersebut berjalan lancar dan aman, tiada kekacauan atau gangguan keselamatan, selagimana tiada kacau ganggu pihak polis.

9. Pihak polis memberikan alasan tidak mengeluarkan permit ceramah kononnya kawasan perumahan itu didiami golongan elit, pegawai kerajaan dan orang ternama. Justeru sebarang majlis ceramah akan menghasilkan gangguan bunyi kepada penghuni taman itu.

Juga dibangkitkan soal gangguan kepada para pelancong yang menginap di chalet dan resort berdekatan. Sedangkan lokasi sama terletak hanya beberapa ratus meter dari pentas utama Pantai Batu Buruk. Di situ saban bulan (kekadang tu saban minggu), berbagai bentuk bunyi bising dikumandangkan, tidak kira siang mahu pun malam. Mengapa tidak ditimbulkan soal gangguan bunyi dari pesta hiburan itu?

10. Soal bantahan yang didakwa dari penduduk setempat juga tidak sukar difahami. Mana ada orang Umno yang suka ceramah PAS diadakan berdekatan rumah mereka? Jadi, jika diraikan setiap bantahan orang Umno, nescaya tidak akan ada peluang bagi PAS untuk menganjurkan majlisnya di kawasan-kawasan awam. Apakah polis tidak pernah mengeluarkan permit untuk majlis Umno/BN jika dibantah penduduk setempat dari kalangan PAS?

11. Tindakan FRU melepaskan gas pemedih mata tanpa mengira tempat juga amat dikesalkan. Ia dihalakan bukan sahaja ke arah orang ramai yang cuba disuraikan, tetapi turut disasarkan ke arah kedai makan yang sedang dipenuhi pelanggan. Kanak-kanak yang berada di dalam kedai itu, termasuk anak-anak pemilik kedai, turut menerima kesan gas tersebut.

Apakah aspek keselamatan orang awam yang tidak ada kena-mengena dengan kekecohan itu tidak diambil kira terlebih dahulu oleh polis? Apakah semata-mata atas alasan menyuraikan perhimpunan haram, polis dihalalkan bertindak apa cara sahaja?

12, Tindakan seorang anggota polis melepaskan ‘peluru hidup’ sehingga mencederaparahkan dua orang awam sangat dipertikaikan. Anggota polis itu mendakwa kononnya beliau diserang, lalu memaksanya melepaskan tembakan demi mempertahankan diri.

Apa pun alasan dan dakwaan yang cuba dikemukakan, rakyat tidak dapat menerima ia sebagai tindakbalas yang wajar. Lain lah kalau orang yang didakwanya menyerangnya itu juga bersenjata. Apatah lagi diambilkira sebab kenapa beliau “diserang” itu, ialah kerana orang ramai melihat beliau cuba melakukan provokasi di tengah-tengah hadirin.

Setakat ini, persoalan dan tandatanya disebutkan tadi masih menguasai perbualan umum dan sembang kedai kopi di Terengganu. Segala persoalan itu pada hakikatnya lebih banyak memberikan kesan negatif kepada parti pemerintah.

No comments:

IKUT KAMI DISINI..