" ORANG MUDA GENG KITA - JOM JOIN PAS '

Thursday, July 21, 2011

AKTIVITI PASTI PEKAN - PASTI AT TAUFIQ

16 Julai 2011, Sabtu PASTI At Taufiq Pekan telah menganjurkan Hari Keluarga yang diadakan di Pantai Sepat, Penor Kuantan. Penyertaan Guru-guru, semua murid PASTI dan keluarga mereka berjaya mengumpulkan hampir 200 orang peserta pada hari tersebut.

Seawal 7.45 pagi, semua pelajar PASTI dan ibu-bapa berkumpul diperkarangan Madrasah As Siddiq, Kg Pulau Serai Pekan. Sebuah bas disewa khas untuk membawa pelajar PASTI ke destinasi Hari Keluarga sedia menunggu dan ibu-bapa pelajar kebanyakan membawa kenderaan masing-masing untuk ke destinasi hari keluarga.

Tepat jam 8.30 pagi, rombongan peserta hari keluarga PASTI At Taufiq telah sampai ke Pantai Sepat dan disana beberapa Ahli Jawatankuasa penganjur telah sedia menunggu untuk menyambut ketibaan pelajar dan keluarga masing-masing.

Pelbagai acara menarik seperti pertandingan mewarna, sukaneka kanak-kanak dan sekaneka ibu bapa pelajar telah berjaya menghidupkan program hari keluarga tersebut. Dengan bantuan saudara Isha Asmawi yang petah berjaya menceriakan suasana hari keluarga tersebut. Pertandingan sukaneka seperti boling kelapa, lari dalam guni, bola rotan dan tiup belon telah menjadikan pelajar dan ibu bapa seronok dan ceria.

Kebanyakan ibu bapa peserta sangat berpuas hati dengan program hari keluarga PASTI yang dianjurkan dan berharap usaha ini dapat diteruskan setiap tahun kerana ia dapat mengeratkan silaturrahim dan ukhwah sesama Islam.

Program Hari Keluarga PASTI At Taufiq telah dirasmikan oleh Pengerusi PASTI Pekan yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Pekan Sdr. Azizur bin Abdullah. Dalam ucapan perasmian, beliau sempat mengingatkan ibu-bapa tentang peri pentingnya mendidik anak-anak dengan didikan Islan sejak dari awal usia anak-anak. Sekolah pra yang diberi nama PASTI mampu menawarkan produk pendidikan Islam untuk anak-anak awal usia dan ini dapat dibuktikan apabila setiap tahun permintaan untuk memasuki PASTI sentiasa tinggi.

Institusi pra sekolah PASTI At Taufiq adalah dibawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Kawasan Pekan. Kejayaan Dewan Pemuda PAS mengendalikan 4 buah PASTI diseluruh Daerah Pekan patut diberi pujian.

Pihak penganjur ingin merakamkan ucapan terima-kasih diatas penyertaan ibu-bapa pelajar PASTI pada program hari keluarga tersebut dan mengucapkan jutaan terima-kasih kepada AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan Pekan, Sdr. Syed Hasnol, Sdr. Naim, Sdr. Nazhar, Abang Wan Zainuddin, Abang Par kerana telah sama-sama menjayakan program Hari Keluarga PASTI At Taufiq.

Photo program untuk dikongsi bersama ;




Thursday, June 2, 2011

KEPUTUSAN PENUH MUKTAMAR PEMUDA PAS PUSAT

Sumber Harakahdaily
SHAH ALAM, 2 Jun: Berikut adalah senarai Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat untuk Sesi 2011/2013:

Pengerusi Tetap: Ustaz Misbahul Munir Haji Masduki

Timbalan Pengerusi Tetap: Ustaz Kamal Ashaari

Ketua: Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

Timbalan Ketua: Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz

Naib Ketua: Raja AlHiss Raja Yaakob

Ahli Jawatankuasa:
1) Ustaz Riduan Mohd Noor
2) Khairul Faizi Ahmad Kamil
3) Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah
4) Adram Musa
5) Kamaruzzaman Mohamad
6) Ustaz Ahmad Fadley Shaari
7) Ustaz Mohd Khairul Abdul Hadi
8) Ustaz Nazri Chik
9) Yusni Mat Piah
10) Hamzan Sany
11) Syed Qadir
12) Ustaz Mohd Noor Hamzah

Wednesday, May 25, 2011

PEMUDA ANJUR FUTSAL DI DUN PERAMU JAYA

22 Mei 2011, Dun Peramu Jaya dalam Parlimen PEKAN telah menganjurkan program mendekati rakyat dan pengundi di 3 Peti Undi iaitu UPU Kg Marhum, UPU Kuala Pahang dan UPU Serandu.

Pelbagai program dianjurkan di 3 lokasi berasing dan kemuncaknya Ceramah Perdana & Konsert Nasyid oleh artis terkenal tanahair iaitu 'Pak Long - Selagi ada Rindu' Antara Program yang dianjurkan yang bermula seawal 8.30 pagi adalah seperti berikut ;

UPU Kg Marhom
  • Kem Rawatan Perubatan Percuma
  • Ziarah Tokoh Pimpinan & Masyarakat
  • Pertandingan Hafazan & Tiliwah Al Quran (kanak-kanak)
  • Sukaneka kanak-kanak
  • Pertandingan Gubahan & Memasak
  • Pengedaran Buliten PAS Pekan & Risalah Buku Jingga
UPU Serandu
  • FUTSAL Pemuda
  • Kem Rawatan Perubatan Percuma
  • Ziarah Tokoh Pimpinan & Masyarakat
  • Pengedaran Buliten PAS Pekan & Risalah Buku Jingga
UPU Kuala Pahang
  • Pertandingan Bola Tampar Muslimat
  • Pertandingan Bola Jaring Muslimat
  • Ziarah Tokoh Pimpinan & Masyarakat
  • Ceramah Berkelompok
  • Pengedaran Buliten PAS Pekan & Risalah Buku Jingga
Pengarah Program, Ustaz Abu Kasim bin Manaf yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan melahirkan rasa puas hati diatas sambutan masyarakat kepada program yang dianjurkan oleh MTD Peramu Jaya bersama PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Pekan.






Thursday, May 19, 2011

Ustaz Shahril Ketuai Pemuda Pahang

Dewan Pemuda PAS Pahang bertukar nakhoda hari ini apabila Ustaz Shahril Azman menang tanpa bertanding sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang yang baru menggantikan Ustaz Suhaimi Saad yang bersara wajib.

Ustaz Shahril sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang selama dua sesi bermula tahun 2007.Beliau juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krau selama tiga sesi berturut turut.

Turut menang tanpa bertanding ialah penyandang jawatan Pengerusi Tetap,Ustaz Rosli abdul Jabar.

Manakala bagi jawatan Timbalan Ketua dan Naib Ketua masing masing menyaksikan pertandingan tiga penjuru.Seramai 22 calon bertanding untuk jawatan exco DPP negeri.

Pengiraan undi sedang berjalan dan dijangka diumumkan selewat lewatnya jam 2.00 petang.

Sumber berita : http://tukulbesi.blogspot.com/

Sunday, May 8, 2011

UTUSAN BERMAIN API !!

Sumber dipetik : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk.

Justeru itu, katanya Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

“Sungguhpun PAS menyertai ‘kerjasama politik’ bersama parti-parti rakan kompenan Pakatan Rakyat (PKR dan DAP), namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini,” tegasnya.

Malah, tambahnya pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa Umno juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

Beliau berkata, andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan.

Katanya lagi, sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

“Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan Umno sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada Umno mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah, malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

“Jika Umno berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul,” ujarnya.

Bahkan, katanya dalam masa yang sama, penganut-penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

Tambahnya, spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara Umno dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama.

“Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera,” katanya.

Menurutnya, spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini.

Sunday, April 17, 2011

10 April 2011, Chini Timur 2 telah berlangsungnya Muktamar Dewan Pemuda PAS Kawasan Pekan bagi kali ke 25. Muktamar kali ini dirasmikan oleh Pimpinan Pemuda dari Pusat iaitu Al Fadhil Ustaz Azman Shapawi bin Abd Rani, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia. Turut hadir mewakili PAS Kawasan Pekan adalah Sdr. Sanusi Ketua Penerangan PAS Kawasan Pekan. Program bermula 8.30 pagi dengan kehadiran perwakilan seramai hampir 30 orang. Pada tahun ini 3 ahli pemuda PAS Kawasan Pekan telah bersara kerana lewat umur melebihi 40 tahun. Mereka adalah Ustaz Mohd Fadhillah, Sdr. Muhammad Naim dan Sdr. Azmi bin Teh. Dewan pada hari tersebut telah menyumbang cenderahati diatas khidmat dan sumbangan mereka didalam Dewan Pemuda hampir 15 tahun. Pada tahun ini juga diadakan pemilihan ahli jawatan kuasa yang baru bagi sessi 2011/2013. Jawatan Ketua Pemuda PAS Kawasan kekal disandang oleh Al Fadhil Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim manakala Timbalan dan Naib Ketua disandang oleh Ustaz Azizur dan Ustaz Abdul Harith. 10 Ahli Jawatan Kuasa dan 5 Ahli Jawatan Kuasa tambahan telah dilantik dengan ramai muka baru dari PAS Jaya Gading dan Chini menyertai pemuda pada kali ini. Ketua Pemuda yang baru sessi 2011/2013 mengingatkan bahawa jawatan yang diberikan perwakilan adalah amanah dari Allah , dan amat berharap supaya mereka yang melantik jangan hanya pandai menyerahkan jawatan kepada AJK tetapi mestilah sama-sama metidak memberikan sokongan dalam program dan aktiviti yang akan diadakan nanti. Muktamar berakhir pada jam 1.00 petang.

Wednesday, March 2, 2011

PENTING PEMBANGKANG DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PAHANG

Calon PAS Tegaskan Betapa Pentingnya Pengundi Pilih Parti Pembangkang Kiranya Mahu Kerajaan Beri Perhatian Sewajarnya Kepada Nasib Mereka !

KERDAU, 2 Feb [5.16 pm] - Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau, Hasanuddin Salim (foto) menegaskan betapa pentingnya pengundi DUN Kerdau memilih pembangkang (Pakatan Rakyat) dalam pilihan raya kecil ini. "Berilah undi kepada pembangkang, berilah undi kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat. Insya Allah kerajaan ini akan memberi perhatian kepada kita bersama. Kenapa saya berkata demikian, tuan-tuan tengok di tempat yang adanya pembangkang "balance" maknanya ada imbangan. Kerajaan dia tengok masyarakat di sini bijak, dia cerdik, dia pilih pemimpin berdasarkan kepada keperluan dia. Maka kerajaan yang memerintah dia akan pergi kepada rakyat, dia akan bantu rakyat sejajar dengan perkembangan pada masa itu. Ini yang kita nak, hari ini tuan-tuan tengok itu contoh jalanraya. Contoh yang lain kita tengok di masjid-masjid, saya berterima kasih kepada pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang diarahkan ke seluruh masjid dalam DUN Kerdau bersempena pilihan raya kecil", katanya. "Dia kena kuliah antara Maghrib dengan Isyak. Tak tau lah mungkin dia takut orang PAS kuliah dan sebagainya itu kita tak kisah. Itu satu perkara yang lain, tetapi saya berterima kasih kepada pegawai JAIP ini yang sepanjang berkempen mereka beri kuliah. Itu satu perkara yang baik".


Ceria, Hasanuddin Salim dan Ustaz Fadhil Nor (Exco Pemuda PAS Pahang)
ketika singgah untuk bersarapan di Felcra Rumpun Makmur pagi tadi

"Tetapi saya minta kebaikan ini dikekalkan. Kerajaan Negeri sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak sahaja menyusun kuliah ini pada masa pilihan raya kecil. Kenapa tidak setahun, daripada awal tahun hingga ke akhir tahun supaya rakyat di dedahkan dengan ilmu. Tok-tok guru , alim ulamak dan pegawai JAIP diletakkan di masjid-masjid untuk mengadakan kuliah. Alangkah indah dan baik, saya tak marah dengan rakan-rakan saya pegawai-pegawai JAIP, mereka ini kerja dan mereka bukan pembuat polisi. Pembuat polisi adalah orang yang dipilih dalam pilihan raya seperti Menteri Besar, Timbalan dan Exco, ini semua orang yang membuat polisi. Dia dipilih melalui pilihan raya, tetapi pegawai JAIP itu tidak", katanya di Felda Jengka 25 malam tadi.

Sumber : pahangdaily.blogspot.com

IKUT KAMI DISINI..

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH